Pages

Saturday, November 26, 2011

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH - 1433H

BismillahirRahmanirRahim,

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ma’al Hijrah 1433H kepada semua umat islam.

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam serta merupakan hari pertama dan tahun baru bagi Takwim Hijrah.


Pengertian Ma’al Hijrah, memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Ia memerlukan kekuatan Iman, Taqwa dan disiplin yang tinggi untuk menjadikan diri kita benar-benar menghayati erti pengorbanan yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada umatnya. Sebagaimana yang telah kita ketahui, bahawa Syaidina Umar Al-Khatab adalah sahabat Nabi s.a.w yang telah mencadangkan tarikh 1 Muharam adalah hari bermulanya hijrah tersebut, walaupun sebenarnya ia telah berlaku sebelum bulan Muharam lagi, maka Nabi Muhammad s.a.w bersetuju dengan pendapat dan cadangan Syaidina Umar Al-Khatab untuk menjadikan bulan Muharam adalah bulan bermulanya tahun baru bagi kelendar Islam.


Penghayatan Ma’al Hijrah ini berterusan hingga ke hari ini dan dikenali seluruh umat Islam amnya. Ma’al hijrah ini memerlukan penelitian yang cukup mendalam, ia melibatkan konsep perubahan dalam diri individu tersebut untuk berhijrah. Kalau dahulunya pe
nghijrahan masyarakat Islam dari Mekah ke Madinah atas dasar perubahan yang dibawa oleh Nabi s.a.w, maka perubahan tersebut berterusan hingga ke hari ini. Tetapi pada dekad kini ia bukanlah perubahan dari satu tempat ke tempat yang lain, ia lebih kepada perubahan dalam diri seseorang itu mendekatkan lagi kepada Allah s.w.t. Kalau dahulunya kita merupakan orang yang suka melewat-lewatkan untuk bersolat, tetapi pada hari ini biarlah kita orang yang melaungkan azan dan qamat untuk menyeru supaya orang pergi dan mendirikan solat. Begitu juga kalau dahulunya kita merupakan orang yang suka menghabiskan masa hingga ke lewat malam untuk mencari rezeki, tetapi apabila bermulanya pengertian hijrah tersebut, maka jadikanlah diri kita orang yang sering menghadiri kuliah-kuliah Ilmu di masjid atau di surau-surau. Dan kalau dahulunya kita sering mengabaikan amalan-amalan sunat sebelum dan selepas solat wajib, maka jadikanlah dan tambahilah amalan-amalan sunat tersebut untuk memantapkan lagi amalan kita selama ini. Ini satu bentuk perubahan dari satu kejahilan kepada kemuliaan diri atas dasar untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Perubahan ini memerlukan komitmen diri yang optimis dan telus. Ia bukan sekadar omong-omong kosong yang dilaungkan di kedai-kedai kopi dan café berinternet. Ia memerlukan insan-insan yang berhatikan Keimanan, Ketaqwaan dan Disiplin yang tinggi untuk memacu penghijrahan tersebut. Disiplin yang tinggi untuk memantapkan lagi Iman dan Taqwa tersebut adalah kunci untuk mendekatkan lagi diri kita terhadap Allah s.w.t. InsyAllah.

Di Malaysia hari tersebut merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.

Semoga diri saya dan kita semua mendapat keberkatan Illahi ke atas segala usaha-usaha yang bakal kita lakukan dan lalui bagi memperbaiki diri.




0 comments:

Post a Comment